Graduan Tabik Ala Nazi Semasa Konvokesyen, UMS Nyatakan Kekesalan

Pelajar dengan gaya tabik hormat ala Nazi semasa konvokesyen Universiti Malaysia Sabah. – Gambar Faccebook

KOTA KINABALU: Seorang graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencetuskan kontroversi apabila melakukan tabik hormat ala Nazi selepas mengambil skrol ijazah dalam Majlis Konvokesyen UMS 2019 kelmarin.

Gambar graduan tersebut dengan gaya tabik hormat yang digunakan semasa zaman pemerintahan Adolf Hitler di Jerman itu kemudiannya dikongsikan ke dalam laman Facebook peribadinya sebelum dipadam.

Menurut paparan skrin yang tular, graduan berkenaan mendakwa, tindakannya itu bertujuan menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin yang menderita akibat perbuatan kejam Yahudi.

“Simbolik Hitler ini aku gayakan di atas pentas keramat UMS kerana dunia menjadi buta ketika Yahudi bermaharajalela seolah-olah pemerintah negara-negara Islam adalah badut yang hanya menjadi politik dunia.

“Maka itu, aku bersolidariti untuk Gaza dek kerana marah, benci dan dendam yang aku pendak terhadap Yahudi.

“Maka aku berterima kasih kepada Hitler kerana Holocaust,” kata graduan itu di dalam laman Facebook miliknya.

Holocaust adalah insiden pembunuhan beramai-ramai masyarakat Yahudi yang tercetus di Eropah semasa Perang Dunia Ke-2.

Pembunuhan berkenaan dilakukan tentera Nazi yang dipimpin oleh Hitler.

Sementara itu, UMS dalam satu kenyataan hari ini menyatakan kekesalan terhadap tindakan pelajar berkenaan kerana memuat naik gambar berkenaan semasa berada di atas pentas konvokesyen.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporatnya, UMS berkata, tindakan pelajar itu tidak mencerminkan pandangan universiti, sebaliknya daripada pelajar itu sendiri.

“Semua pelajar telah dimaklumkan tatacara istiadat konvokesyen, termasuk mereka diingatkan agar memandang ke arah kamera selepas mengambil skrol.

“Pada kesempatan itulah pelajar berkenaan berhenti dan membuat gerakan tangan seolah-olah seperti melambai kepada audiens, dan kejadian itu berlaku dalam beberapa saat sahaja.

“Graduan tersebut kemudiannya menggunakan gambar itu dengan status yang tertera pada akaun media sosialnya,” katanya.

BorneoToday

2758