ESSCOM Tahan 72 PATI Dalam Ops Gasak Laut 3 Di Semporna

Antara PATI yang ditahan dalam operasi berkenaan.

SEMPORNA (24 Nov) – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah menahan 72 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi khas gasak laut siri 3, di kampung denawan, di sini pagi tadi.

Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali dalam satu kenyataan media berkata Operasi yang bermula seawal jam 12.00 pagi dan berakhir pada 7.00 pagi itu, menyasarkan kawasan penempatan yang disyaki menjadi tempat persembunyian pati disamping mengekang elemen jenayah lain seperti penyeludupan barang-barang terkawal dan bersubsidi seperti minyak petrol ke negara jiran dan aktiviti pengeboman ikan.

“Selain tempat persembunyian pati, pulau Denawan disyaki menjadi salah sebuah perkampungan yang dijadikan staging point oleh penjenayah rentas sempadan melakukan aktiviti penyeludupan barang-barang kawalan seperti minyak petrol dan lain-lain”, katanya.

Hazani berkata dalam operasi berkenaan, seramai 81 orang telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut seramai 72 disyaki pati yang berumur 5 -70 tahun telah ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah atau meragukan.

Menurutnya lagi, kesemua pati yang ditahan telah dihantar ke pusat tahanan sementara (PTS) Tawau untuk tujuan dokumentasi sebelum dihantar ke negara asal masing-masing.

Beliau berkata operasi yang telah disertai oleh seramai 130 anggota keselamatan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia itu telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat seperti Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia yang telah membantu menjayakan operasi pada kali ini”, katanya.

Beliau berkata ESSCOM akan meneruskan operasi-operasi seumpama ini bagi mengekang dan membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan pati yang menjadi punca kepada berlakunya jenayah-jenayah lain di daerah ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *