Berebut Cium Najis Panda

Pengunjung berpusu-pusu untuk melihat beruang panda di Zoo Wuhan di tengah China. Gambar Agensi

BEIJING: Pengunjung sebuah zoo di China sanggup beratur panjang semata-mata untuk menghidu najis beruang panda yang didakwa berbau wangi.

Zoo Wuhan di wilayah Hubei, tengah China mempamerkan najis panda kepada pengunjung untuk menunjukkan bagaimana sistem penghadaman haiwan itu berfungsi.

Najis beruang panda yang dipamerkan dan boleh dihidu pengunjung. Gambar Agensi

Ramai pengunjung terkejut kerana tidak menyangka najis panda wangi malah ada yang berkata, baunya seperti buluh dan roti.

Pihak zoo memberitahu, panda tidak dapat menghadam buluh dengan baik menyebabkan najis haiwan itu banyak mengandungi daun tumbuhan berkenaan.

Zoo Wuhan baru membuka pameran beruang panda pada Julai lalu yang menempatkan dua panda betina, Chun Qiao dan Pang Niu.

Petugas zoo itu teruja dengan kehadiran ramai pengunjung dan berjanji untuk menggantikan najis panda yang dipamerkan setiap hari untuk dihidu mereka.

Zoo itu turut menyiarkan video di media sosial yang menunjukkan bagaimana panda berkenaan menghasilkan najis.

Seekor panda dewasa mampu makan lebih 20 kilogram buluh sehari dan menghasilkan 10 kilogram najis yang lazimnya digelar ‘bebola hijau’ oleh penjaga haiwan itu, kata pengarah Pusat Perlindungan Haiwan Liar zoo berkenaan, Wang Mingquan.

Menurutnya, seekor panda selalunya berak lebih 10 kali sehari.

Tahi panda juga digunakan untuk membuat tisu dan teh di China.

Tisu tandas mewah jenama ‘Panda Poo’ (tahi panda) diperbuat menggunakan bahan itu berharga 43 yuan (RM25.50) sekotak iaitu hampir 10 kali ganda tisu tandas biasa. – Agensi

4298