Warga Emas Ditahan Masak Air Ketum Di Rumah

SANDAKAN, 21 Nov: Kegiatan seorang lelaki warga emas yang memasak dan memproses air ketum di rumahnya terbongkar apabila polis membuat serbuan dan menahan lelaki itu, Isnin lepas.

Ketua Polis Sandakan, ACP Azhar Mohd Hamin berkata lelaki tempatan berumur lingkungan 60-an itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sandakan di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 12 di sini, kira-kira 1 tengah hari.

“Polis menjumpai 93 botol lutsinar bersaiz 1.5 liter berisi air ketum dianggarkan bernilai RM3,000 dan hampir 10 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM400. Turut dirampas peralatan memasak disyaki untuk menghasilkan air ketum dan selaras senapang angin buatan sendiri,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mohd Azhar berkata lelaki itu direman selama empat hari sehingga 22 Nov ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki berumur 43 tahun kerana memiliki selaras bakakuk, sejenis senapang buatan sendiri dengan tiga biji peluru senapang patah.

Katanya, lelaki tempatan itu, yang ditahan di sebuah rumah di Batu 12 pada 4 petang hari yang sama, didapati positif dadah jenis methamphetamine dan direman sehingga 22 Nov bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, Mohd Azhar berkata polis berjaya menangkap sembilan lelaki iaitu lima warga tempatan dan empat warga Filipina berumur 26 hingga 50 tahun kerana disyaki bermain judi daun terup di sebuah hotel di Jalan Leila di sini, Selasa lepas.

Katanya sebanyak 52 keping daun terup dan wang tunai berjumlah RM38,400 dirampas.

Mohd Azhar berkata sejak Januari hingga 20 Nov lepas, polis Sandakan telah menahan 77 individu, iaitu 47 lelaki dan 30 wanita disyaki terlibat dalam judi loteri awam tanpa lesen membabitkan wang berjumlah RM13,982.

Dalam tempoh yang sama, seramai 35 lelaki dan 27 wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan judi dalam talian membabitkan wang berjumlah RM13,682.

“Seramai 38 orang (36 lelaki dan dua wanita) pula ditangkap bagi pelbagai jenis perjudian lain seperti sabung ayam dan daun terup membabitkan wang tunai berjumlah RM40,572.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) dan 7 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *