Pos Balai Bomba Atas Air Pertama Di Semporna Bakal Siap Hujung Tahun Ini

Mohammad Mentek memeriksa perbarisan anggota bomba pada Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Kebombaan Gred KB19 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, di Jalan Sulaman, Kota Kinabalu.-Gambar SNT/Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Pos balai bomba atas air pertama dibina di Semporna bakal siap sepenuhnya hujung tahun ini yang akan menjadi benteng pertama sebelum kehadiran pasukan bomba sekiranya berlaku kebakaran.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Mohammad Mentek selepas merasmikan Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Kebombaan Gred KB19 di di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, di Jalan Sulaman, di sini, hari ini.

Mohammad Mentek menyampaikan Sijil Kebombaan Gred KB19 kepada anggota bomba pada majlis berkenaan.-Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Menurutnya, penubuhan pos itu juga akan diperluaskan secara berperingkat ke kawasan penempatan kampung air di seluruh negeri ini.

“Pos balai bomba itu akan dilengkapi dengan kelengkapan bersesuaian termasuk bot dan peralatan pemadaman api. Ia akan siap sepenuhnya hujung tahun ini dan dijangka mampu membantu sekiranya berlaku kecemasan.

“Pembabitan komuniti setempat dalam operasi kecemasan juga lebih efektif berikutan mereka lebih mahir dengan kawasan kampung untuk operasi menyelamat dan tahu lokasi punca air,” katanya.

Mohammad Mentek dalam sidang media pada Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Kebombaan Gred KB19 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, di Jalan Sulaman, Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Junaidi Ladjana

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah.

Mohammad berkata, pasukan bomba atas air ini sememangnya terlatih dan dilengkapi dengan pelbagai kecekapan dalam menghadapi kecemasan sama ada di air ataupun darat.

“Anggota bomba ini diberikan latihan bagi meningkatkan kemahiran untuk kesiapsiagaan ketika menghadapi pelbagai kes kecemasan.

“Sepanjang tahun ini, kita sudah melatih seramai 898 orang di tiga akademi bomba seluruh negara membabitkan 689 di Terengganu, 77 di Sarawak dan 132 di Sabah.

“Bagi tahun depan pula, JBPM dijangka akan melatih seramai 400 orang,” katanya.

Terdahulu pada majlis berkenaan, seramai 132 anggota bomba tamat latihan berkenaan selepas menjalani latihan lebih empat bulan.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *