Kerajaan Sabah Minta Kelonggaran Guna Bot Hantar PATI

KOTA KINABALU, 20 Nov: Kerajaan negeri Sabah berharap Kementerian Pengangkutan akan memberi kelonggaran untuk menentukan jenis bot yang bersesuaian bagi melancarkan proses penghantaran pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal selepas perkhidmatan feri dari Sandakan ke Zamboanga dihentikan sementara waktu.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia merupakan bidang kuasa kementerian itu untuk memberi kebenaran bot yang boleh digunakan kerana mempunyai peraturan-peraturan tertentu yang perlu dipatuhi termasuk faktor keselamatan.

“Saya telah meminta kelonggaran kepada menteri berkenaan, Anthony Loke supaya memberi sedikit kelonggaran buat sementara waktu kerana kita tidak mempunyai bot yang bersesuaian seperti mana yang dikehendaki oleh peraturan seperti yang telah termaktub dalam perjanjian antarabangsa,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata pembatalan operasi feri itu telah menyebabkan proses penghantaran PATI tertangguh.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Bolkiah(Pitas-Warisan) yang ingin tahu jika perkhidmatan feri itu menganggu proses penghantaran PATI yang kini mencecah hampir 7,000 di empat Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Sabah.

BERNAMA

1087