Tercampak Keluar Daripada Kereta, Satu Maut Empat Parah Dalam Kemalangan Di Jalan Tuaran Bypass

Keadaan kenderaan mangsa selepas terbabit dalam kemalangan di Tuaran Bypass, Kota Kinabalu. – Foto ihsan Bomba

KOTA KINABALU: Seorang maut manakala empat lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Pintasan Tuaran berhampiran sebuah sekolah di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, mangsa Amirul Izzat Rahmat, 21, maut, manakala empat lagi, Zulhafiz Pasaran, Mohd Zulhilmi Abdullah dan Faizam Fasal masing-masing berusia 19 tahun bersama Hafiz Saruji, 23, dilaporkan parah.

Mangsa maut dalam kemalangan di Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu. – Foto ihsan Bomba

Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.17 pagi.

Katanya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi bersama sebuah jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Bomba (EMRS).

“Menurut komander operasi, kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga dipercayai terbabas sendiri di bahu jalan dan terdapat lima mangsa lelaki didalamnya.

“Seorang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan dan didapati mengalami kecederaan parah, manakala tiga mangsa yang lain turut parah dikeluarkan oleh orang awam serta diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS.

“Seorang lagi mangsa lelaki dilaporkan tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semua mangsa di hantar ke hospital untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 6.45 pagi.

Berita Harian

5103