Pukki Bawa Finland Ke Euro 2020

Penyerang Finland, Teemu Pukki (dua dari kiri) menjaringkan gol ketika menentang Liechtenstein pada saingan kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi. – Foto EPA

HELSINKI: Penyerang Finland, Teemu Pukki meledak dua gol ketika pasukannya menewaskan Liechtenstein 3-0 untuk menempah tiket ke Euro 2020 serta mara ke pusingan ahir kejohanan utama buat kali pertama.

Kemenangan itu memastikan tempat kedua Kumpulan J buat Finland dengan 18 mata, enam di belakang juara kumpulan Itali.

Dengan tiket habis dijual seminggu awal dan layar gergasi dipasang di beberapa bandar utama Finland, jangkaan tinggi di Helsinki apabila penyokong menyanyikan lagu kebangsaan sambil memegang skaf pada malam yang sejuk.

Finland mengasak sejak wisel dibunyikan namun Liechtenstein dapat bertahan.

Liechtenstein mengekalkan benteng hingga minit ke-21 apabila Pukki membawa bola dari tengah namun dia dikekang tetapi Jasse Tuominen mengambil bola dan menyepak kencang menyebabkan penyokong di Helsinki mula bersorak.

Kapten Finland, Tim Sparv dijulang peminat selepas menumpaskan Liechtenstein untuk menempah tiket ke Euro 2020 serta mara ke pusingan akhir buat pertama kali. – Foto AFP

Pukki hampir menambah jaringan kedua tujuh minit sebelum tamat babak kedua namun cubaannya ditepis penjaga gol.

Pukki mengesahkan tempat Finland ke kejohanan tahun depan selepas Pyry Soiri dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Livio Meier dengan dia meledak pada minit ke-64 yang juga jaringan kelapannya dalam kempen kelayakan.

Dia menampilkan persembahan individu terbaik dengan gol kedua 11 minit kemudian.

“Tiada perkataan dapat menggambarkan. Saya tidak pernah gementar sebelum perlawanan seperti hari ini,” kata Pukki. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *