Polis KK Tahan 37 Penagih, Pengedar

Suspek dimasukkan ke dalam van untuk tujuan siasatan.

KOTA KINABALU: Polis menahan 37 individu termasuk 12 warga asing atas beberapa kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah dalam Op Sarang yang dijalankan bermula 9 November hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik itu turut berjaya merampas 13.79 gram syabu berharga RM689.5.

Katanya, operasi dilakukan di Kampung Lok Buni, Kampung Cenderamata dan sekitar Pekan Inanam.

Sebahagian suspek yang digari selepas ditahan polis kerana salah guna dadah.

“Dua suspek ditahan kerana mengedar, 11 kerana memiliki dadah manakala 24 lagi disebabkan gagal ujian saringan urin.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, suspek berumur antara 15 hingga 62 tahun.

Sementara itu, Habibi menegaskan usaha pihak polis membanteras penyalahgunaan dadah akan diteruskan demi kesejahteraan orang awam di sekitar Kota Kinabalu.

“Kerjasama daripada orang awam amat kami perlukan dengan menyalurkan maklumat ke talian Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 088529220 atau halaman Facebook kami,” katanya.

BorneoToday

3040