RON97 Naik 13 Sen Sahaja, RON 95 Dan Diesel Kekal

PUTRAJAYA: Harga runcit petrol RON97 naik 13 sen kepada RM2.70 seliter manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal RM2.08 dan RM2.18 seliter mulai tengah malam ini.

Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan memaklumkan harga runcit produk petrol itu adalah bagi tempoh esok hingga 22 November ini.

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya masing-masing adalah sebanyak RM2.40 seliter dan RM2.25.

“Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lalu bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.27 seliter, manakala penurunan bagi harga runcit produk diesel yang berada pada paras RM2.28 seliter.

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter, selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

“Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh 16 November hingga 22 November ini adalah berjumlah RM120.58 juta,” katanya.

Berita Harian

205