Mayat Enam Sekeluarga Digali Balik Untuk Bedah Siasat, Dikebumikan Semula Hari Ini

TAWAU: Mayat semua enam mangsa tembak di perairan Selatan Filipina yang telah dikebumikan di Pulau Denawan, Semporna Jumaat lalu difahamkan telah digali semula oleh pihak polis Ahad lalu untuk tujuan bedah siasat.

Difahamkan, semua urusan bedah siasat di Hospital Tawau telah selesai dan semua mayat itu akan dibawa balik ke Pulau Denawan hari ini untuk dikebumikan semula.

Tinjauan di Rumah Mayat, Unit Perubatan Forensik Hospital Tawau mendapati tiga mayat mangsa termasuk seorang kanak-kanak dibawa keluar menggunakan kenderaan polis dipercayai menuju ke Kunak sebelum meneruskan perjalanan ke Semporna, pada pukul 10.30 pagi tadi.

Difahamkan, selepas semua mayat itu digali, hanya tiga daripadanya iaitu seorang lelaki, wanita dan kanak-kanak dihantar terus ke Hospital Tawau, manakala selebihnya ditempatkan di Hospital Kunak atas faktor kekurangan bilik menyimpan mayat.

Menurut sumber, tiga mayat pertama tiba di Rumah Mayat Hospital Tawau pada 10 November lalu untuk proses bedah siasat.

Manakala tiga lagi mayat mangsa dikatakan dihantar dari Kunak ke Tawau pada Selasa lalu, sebaik proses bedah siasat kumpulan mayat pertama selesai.

Tiga mayat itu kemudiannya dihantar ke Kunak semula pada hari yang sama.

Kata sumber itu, sebaik proses bedah siasat selesai dilakukan, semua mayat dihantar semula ke Semporna hari ini, untuk proses pengebumian semula.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah mengesahkan insiden tembakan di Selatan Filipina yang menyebabkan enam sekeluarga maut termasuk kanak-kanak berumur 8 tahun manakala dua lagi selamat.

Menurutnya, semua mangsa dalam perjalanan dari Pulau Denawan ke Siasi, Filipina untuk menyambut Maulidur Rasul pada 5 November lalu sebelum diserang sekumpulan individu di perairan negara jiran itu.

Mangsa kemudian dijumpai ahli keluarga mereka dari Siasi, dan dihantar pulang semula ke Denawan sebelum dikebumikan di sana.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *