1,115 Letupan Bom Ikan Direkodkan Dalam Tempoh 6 Bulan Di Semporna – WWF

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Tabung Alam Dunia (WWF) Malaysia merekodkan 1,115 letupan bom ikan dalam tempoh enam bulan melalui dua alat pengesan letupan bom (hidrofon) yang ditempatkan di Semporna.

Pengarah Konservasi WWF Malaysia Henry Chan berkata, keberkesanan hidofon dalam mengesan letupan bom ikan dilihat membantu mengekang pengebom ikan untuk menjalakan aktiviti itu kerana khuatir dikesan pihak berkuasa.

Beliau percaya apabila WWF mendapati kes pengeboman ikan menjadi semakin serius, pemasangan lebih banyak alat pengesan letupan bom ikan perlu dipasang. Itu akan membantu mengurangkan kes pengeboman ikan di Sabah.

“Kita bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk meletakkan set hidrofon bagi mengesan lokasi letupan bom.

“Kami mahu menunjukkan kepada pihak berkuasa betapa seriusnya masalah ini (pengeboman ikan).

“Di dua pengesan yang dipasang, 1,115 letupan dikesan dalam tempoh enam bulan lalu. Kami bekerjasama dengan organisasi dari Hong Kong, kerana Hong Kong juga ada berlaku pengeboman ikan,” katanya kepada ditanya mengenai kes pengeboman ikan di Sabah yang dilaporkan tertinggi di Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas Kunjungan Hormat WWF Malaysia kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini pada Khamis.

Henry berkata, masyarakat setempat juga turut dilibatkan dalam melindungi terumbu karang di kawasan masing-masing kerana penduduk setempat yang akan mendapat manfaat sekiranya terumbu karang dijaga dengan baik.

Terumbu karang menjadi tempat pembiakan ikan yang pelbagai spesis jadi, ia akan memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Ditanya mengenai kepantasan pihak berkuasa tiba di lokasi letupan bom ikan berlaku, beliau berkata, sukar untuk tiba dengan pantas kerana letupan bom ikan berlaku di merata-rata tempat.

Katanya, apa yang penting pada masa ini adalah untuk mengetahui paten pergerakan letupan bom ikan itu.

Beliau juga melihat kemungkinan untuk menggunakan sistem secara online bagi mengumpul maklumat setiap kali letupan bom ikan dikesan.

Katanya, sistem sebegitu sudah digunakan di Hong Kong namun, di Sabah belum lagi.

Mengenai Biro Jenayah Hidupan Liar, Henry berkata, biro itu perlu diwujudkan bagi membolehkan semua pihak berkuasa bergerak selari dalam menangani konflik manusia dan hidupan liar.

“Dengan adanya biro ini dalam jabatan polis, kita dapat menyelaras semua agensi berlainan secara bersama-sama dan dapat berhubung dengan polis antarabangsa dalam menangani jenayah melibatkan hidupan liar,” ujarnya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *