Anak Filipina Dapat Kerakyatan Kerana Bapa Berstatus PR, Kata JPN Sabah

KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah berkata seorang kanak-kanak berketurunan Filipina dilahirkan di negeri itu diberi kerakyatan Malaysia kerana bapanya seorang pemastautin tetap (PR), di sebalik bantahan susulan salinan sijil kelahiran yang tular di media sosial.

Pengarah JPN Sabah, Ismail Ahmad berkata walaupun ibu dan bapanya bukan warganegara, mereka berkahwin secara sah.

Perkara itu, serta status PR bapanya, bermakna kerakyatan automatik bagi anak mereka.

Menurut gambar yang tular itu, kanak-kanak itu dilahirkan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Likas pada 24 Jan tahun lepas.

Ibu dan bapanya, 27, warga Filipina. Bapanya memiliki kad MyPR manakala ibunya memiliki pas pelarian IMM13.

Ismail memberitahu FMT, selagi ibu atau bapa berstatus pemastautin tetap dan pasangan itu berkahwin secara sah, anak mereka secara automatik diberi kerakyatan.

“Tetapi anak itu hanya akan diberi kerakyatan jika ibu atau bapa berstatus PR semasa anak itu dilahirkan,” tambahnya.

“Anak itu tidak akan diberi kerakyatan jika permohonan sedang berjalan atau status PR diberi selepas kelahiran. Dalam kes itu, anak itu akan kekal sebagai orang asing.”

Beliau berkata orang asing perlu memohon permit masuk daripada imigresen jika mahu memohon kad MyPR.

Jika diluluskan, kad MyPR biasanya dikelaurkan dalam tempoh sebulan kerana ia akan dicetak di Putrajaya. – FMT

15192