Pemburu Gading Gajah Didakwa, Hakim Tegur Kerana Tidak Hormat Mahkamah

TAWAU: Pemburu gading gajah yang ditahan berikutan penemuan bangkai seekor gajah Borneo dengan 70 kesan tembakan di Kalabakan bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Jaifol Lion, 52, yang merupakan pengurus ladang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal menyerahkan hasil haiwan dilindungi iaitu gading gajah pada pukul 2 pagi di rumah pengurus ladang Kampung Felda Umas, Kalabakan pada 2 Oktober lalu.

Dalam prosiding hari ini, Hakim Awang Karisnada Awang Mahmud turut menegur tertuduh dan memerintahkannya meminta maaf segera kerana tidak melakukan tunduk hormat ketika masuk dan keluar mahkamah.

“Kamu bernasib baik saya mengurangkan wang jaminan atas dakwaan kesalahan tadi, jadi sila hormati mahkamah,” katanya dalam nada tegas.

Awang Kerisnada turut menegur peguam bela tertuduh, Mohamed Zairi Zainal Abidin untuk memaklumkan kepada tertuduh mengenai prosedur ketika berada dalam mahkamah.

Terdahulu semasa prosiding, Jaifol didakwa dengan niat telah gagal menyerahkan hasil haiwan dilindungi kepada Pegawai Diberikuasa atau Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah iaitu dua potong disyaki gading Gajah Borneo (gajah Pigmi), spesis haiwan yang dilindungi sepenuhnya seperti mana disenaraikan dalam Bahagian 1, Jadual 1, Nombor 11 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 40 Enakmen Pemeliharaan Hidupn Liar 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 40(3) Enakmen yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Sabah Syarifuddin Abdul Rasa.

Sebelum itu, tertuduh menerusi peguamnya merayu agar wang jaminan dikurangkan daripada RM10,000 kepada RM5,000 dengan dua orang penjamin.

Mohamed Zairi menjelaskan kepada mahkamah bahawa anak guamnya kini digantung kerja dan hanya menerima separuh gaji setiap bulan sehingga kes perbicaraan selesai.

Bagaimanapun, Awang Kerisnada menegaskan wang jaminan yang diminta itu adalah terlalu sedikit untuk kes tersebut.

Awang Kerisnada menetapkan wang jaminan sebanyak RM7,000 dengan dua penjamin tempatan, selain pasport antarabangsa milik tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh juga diarah melaporkan diri di Pejabat JHL setiap dua minggu sekali dan tidak mengganggu saksi sepanjang proses perbicaraan.

Hakim menetapkan 11 Disember depan sebagai tarikh pengurusan kes.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *