“Video Buaya Tu Bukan Di KK Lah…”

Sedutan dari video yang tular.

KOTA KINABALU: Video tular yang memperlihatkan buaya berenang dalam longkang bukan berlaku di Pusat Bandaraya ini.

Jurucakap Jabatan Hidupan Liar (SWD) Sabah mengesahkan perkara itu setelah membuat pemantauan di longkang berhampiran Hospital Queen Elizabeth seperti ditularkan dalam laman sosial media.

Difahamkan video buaya yang ditularkan itu sebenarnya berlaku di Wilayah Persekutuan Labuan.

Ada juga yang berkata rakaman itu dibuat di Kampung Pandan, Kuala Belait. Namun, ia masih belum dapat dipastikan.

Awal pagi Selasa, video memperlihatkan seekor buaya berenang dalam longkang didakwa di Hospital Queen Elizabeth mulai tular dan mengundang kebimbangan dalam kalangan warga bandaraya.

Berikutan itu, SWD menggerakkan anggotanya bagi menangkap buaya yang didakwa dilihat berada di kawasan longkang berhampiran Hospital itu.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan di lokasi dan semakan semula video berkenaan mendapati ia bukan diambil di bandaraya ini.

Buaya itu dianggarkan bersaiz antara 3m hingga 3.5 meter.

Jurucakap SWD berkata, kehadiran buaya di longkang sekitar Kota Kinabalu adalah sesuatu yang biasa dilihat.

4172