Mangsa Tembakan Dari Pulau Denawan, Baru Sebulan Bernikah

SEMPORNA: Seorang daripada enam mangsa yang mati ditembak di Selatan Filipina, minggu lalu, dikatakan baru sebulan mendirikan rumah tangga.

Menurut sumber, isteri mangsa, 20-an, adalah satu daripada dua individu yang terselamat dalam insiden berdarah itu sebelum ditemukan ahli keluarga mereka dari Pulau Siasi, Filipina.

Sebelum kejadian mangsa yang dikenali sebagai Raju, 20-an, bekerja di sebuah kedai makan di Bandar Semporna.

“Sebelum berkahwin, mangsa dan isterinya bekerja di restoran yang sama beberapa bulan lalu.

“Kemudian, mereka berdua mengambil keputusan berhenti kerja dan pulang ke Pulau Denawan untuk berkahwin,” katanya kepada Borneo Today.

Menurutnya, pasangan itu baru sahaja melangsungkan perkahwinan bulan lalu dan merancang untuk ke Pulau Siasi, Selatan Filipina bagi menyambut Maulidur Rasul bersama keluarga di sana.

Difahamkan selain isteri, ibu tiri mangsa juga antara yang terselamat dalam insiden berdarah berkenaan.

Ahad lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah mengesahkan enam sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun mati dipercayai ditembak ketika dalam perjalanan ke Siasi, Filipina, pada 5 November lalu.

Bagaimanapun, dua mangsa lagi terselamat dan ditemukan ahli keluarga yang keluar mencari selepas bimbang mangsa tidak sampai ke Pulau Siasi mengikut masa ditetapkan.

Omar berkata, semua mangsa dihantar pulang ke Pulau Denawan termasuk enam yang maut untuk dikebumikan di sana.

Tambahnya setakat ini, motif serangan dipercayai akibat balas dendam memandangkan tiada barang kemas, wang tunai termasuk enjin bot dilarikan suspek.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *