Pakai Topi Keledar Dalam Pejabat Takut Dihempap Bumbung

Pekerja jabatan elektrik di Banda, India memakai topi keledar kerana bimbang dihempap bumbung pejabat yang usang. Foto ANI

NEW DELHI: Pekerja di sebuah pejabat kerajaan di Banda, Uttar Pradesh terpaksa memakai topi keledar di pejabat kerana bimbang dihempap bumbung bangunan yang usang.

Gambar dan video menunjukkan pekerja jabatan elektrik memakai topi keledar di pejabat tular di media sosial baru-baru ini selepas disiarkan agensi berita ANI.

Menurut laporan itu, pekerja itu memakai pelindung kepala sebagai persediaan sekiranya bumbung pejabat lokasi mereka bekerja itu runtuh.

Beberapa pekerja memberitahu, mereka sering membuat aduan mengenai keadaan bangunan itu yang usang tetapi sehingga kini tiada tindakan daripada kerajaan.

Sejak itu mereka memakai topi keledar setiap kali masuk ke pejabat.

“Keadaan tidak berubah sejak saya mula bekerja dua tahun lalu. Kami menghantar surat kepada kerajaan tetapi tiada maklum balas,” kata seorang pekerja kepada ANI.

India Today melaporkan, dakwaan pekerja itu adalah benar dan mereka tidak mereka-reka cerita.

“Bumbung penuh dengan lubang dan ada satu tiang di tengah bilik untuk menyokong ia daripada runtuh,” kata laporan itu.- Agensi

715