Marsha Terkilan Dianggap Tidak Lagi Minat Berlakon

Marsha

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Marsha Milan Londoh, 34, terkilan apabila dianggap tidak lagi berminat untuk membabitkan diri dalam lakonan selepas mendirikan rumah tangga.

Sedangkan, katanya, dia sentiasa menantikan tawaran lakonan yang tidak kunjung tiba.

“Ada masanya, saya menunggu seperti buah yang tidak gugur. Jujurnya, pernah lebih setahun saya tidak menerima sebarang tawaran lakonan selepas berkahwin.

“Saya percaya, inilah mentaliti sesetengah pihak yang menganggap artis sudah mendirikan rumah tangga sibuk menguruskan suami dan tidak lagi mahu berlakon.

“Sedangkan, saya sentiasa terbuka untuk menerima apa sahaja tawaran, sama ada lakonan, nyanyian mahupun pengacaraan. Paling saya rindu adalah lakonan,” katanya yang bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail, sejak Disember 2015.

Marsha yang akan turut bersaing pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 34 menerusi lagu Bimbang berkata, minatnya terhadap lakonan tidak pernah terpadam.

“Peminat baru nampak saya berlakon selepas filem bergenre seram, 7ujuh, ditayangkan pada tahun lalu.

“Kemudian, saya ditawarkan watak pembantu selain menjayakan program kecil. Tidak mengapalah, ia sudah memadai untuk saya melepaskan rindu.

“Alhamdulillah, kerjaya lakonan bagai bernafas semula apabila tawaran semakin banyak diterima, sejak akhir-akhir ini. Selepas pulang mengerjakan umrah, saya akan memasuki lokasi penggambaran filem baharu, Danum,” katanya yang kini berada di Tanah Suci Makkah sejak 8 November lalu.

Berita Harian

563