TENOM: Seorang bekas anggota tentera dipercayai cuba membunuh diri dengan meminum racun serangga dalam kejadian di sebuah kampung di daerah ini, kelmarin.
Lelaki berusia 34 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri oleh ahli keluarganya sebelum membawanya ke Hospital Tenom untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Keningau dan masih tidak sedarkan diri.
Katanya polis menerima panggilan berhubung kejadian itu dari unit kecemasan Hospital Tenom pada jam 5.27 petang.
“Siasatan mendapati, lelaki itu dipercayai bersendirian dirumahnya ketika meminum racun serangga. Dia sempat menghubungi ahli keluarga memaklumkan melakukan perbuatan itu.
“Ahli keluarga kemudian membuat pemeriksaan dirumahnya dan mendapati lelaki itu dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hasan berkata punca lelaki itu minum racun masih tidak diketahui dan siasatan masih dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh diri,” katanya.
Difahamkan, lelaki itu adalah bekas tentera dan sudah berkahwin serta mempunyai seorang anak.
SabahNewsToday