Lelaki Miliki Cop Jabatan Palsu Dipenjara Lima Tahun

SEMPORNA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memiliki cop palsu jabatan dan agensi kerajaan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bugaya, dekat sini, 22 Julai lalu.

Alawi Amat, 42, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan, di Mahkamah Majistret Semporna, di sini, semalam.

Mengikut ketiga-tiga kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki materi atau cop Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS) atas nama Jamaludin Bin Haji Dasi; cop Ketua Anak Negeri atas nama Naduha Bin Haljun; dan Usiat Bin Akmal @ Abdul Lala; selain cop Hospital Tawau bagi Wad Bersalin dan Unit Hasil.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh bagi membuat teraan atau cetakan dengan mengetahuinya sebagai lancung (tidak tulin, tiruan atau palsu) dengan niat supaya ia digunakan bagi melakukan pemalsuan.

Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 473 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Inspektor Jamal Tampak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Amir Shah dalam penghakimannya menjelaskan faktor kepentingan awam selain risiko keselamatan dan kedaulatan negara diambil kira sebelum hukuman dijatuhkan terhadap tertuduh.

Katanya, mahkamah mengambil kira bahawa materi atau cop yang dirampas adalah kegunaan rasmi jabatan atau agensi kerajaan yang berkaitan.

“Apabila ia digunakan secara langsung oleh orang lain maka terdapat risiko keselamatan dan kedaulatan negara akan terancam.

“Tidak dapat dibayangkan kesan dan natijah akibat daripada penggunaan secara salah ke atas cop ini kerana ia mungkin mengakibatkan puluhan atau ratusan lagi dokumen palsu terhasil akibat penggunaannya,” katanya.

Amir Shah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan enam bulan penjara jika gagal membayar denda serta hukuman berjalan secara serentak.

Berita Harian

953