KOTA KINABALU: Lebih 6,000 penduduk Islam berarak sejauh 1.4 kilometer sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri, di sini, hari ini.
Perarakan yang bermula dari Sutera Avenue dan berakhir di pekarangan Masjid Negeri Sabah, itu turut disertai Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.
Turut menyertai perarakan, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk, Datuk Aidi Moktar serta barisan menteri Kabinet negeri.
Sebanyak 74 kontinjen mewakili jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar menyertai perarakan berkenaan.
Sementara itu, Juhar dalam perutusannya menzahirkan rasa gembira apabila melihat sebahagian besar peserta perarakan Maulidur Rasul ini adalah golongan muda.
“Ini petanda membuktikan generasi muda Islam di negeri ini sedar dan peka terhadap peranan mereka sebagai pendokong untuk meninggikan syariat dan syiar Islamiah di Sabah khususnya. Ia juga boleh dilihat sebagai sinergi dalam konteks mewacana masa depan negeri yang lebih gemilang.
“Perlu diketahui bahawa kejayaan Islam pada zaman Rasulullah SAW turut disumbangkan oleh golongan muda. Justeru, tidak keterlaluan jika saya katakan nasib negeri kita pada masa depan terletak pada genggaman generasi muda hari ini yang bakal mewarisi dan mengemudi hala tuju negeri.
“Oleh itu, generasi muda mestilah memiliki semangat juang yang membara yang didasari ilmu, iman dan takwa, selain membudayakan kerja secara kreatif serta inovatif,” katanya di sini.
Juhar berkata, walaupun mengubah budaya dan pemikiran bukan mudah, masyarakat terutama generasi muda perlu diperkasakan dan diberikan lebih banyak pendedahan agar lebih memahami aspirasi budaya inovasi untuk pembangunan negara.
Terdahulu, Aidi ketika menyampaikan ucapan Ketua Menteri, Datuk Mohd Shafie Apdal, berkata sejajar perjuangan Rasulullah SAW mensejahterakan ummah, kerajaan Sabah turut komited dalam memacu pembangunan negeri dengan sedaya upaya.
“Kita melaksanakan pelbagai program dan suntikan dana bagi memacu ekonomi negeri yang akhirnya dapat mensejahterakan rakyat secara keseluruhannya.
“Sabah dikurniakan dengan keindahan dan keunikan, justeru dalam hal ini, kita semua adalah petugas yang diamanahkan untuk menjaga, membangunkan serta memajukan negeri ini.
“Kita bertekad untuk terus menguruskan sumber kekayaan yang dikurniakan ini dengan penuh amanah dan tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, barisan kepemimpinan kerajaan baharu yang diberi mandat oleh rakyat tidak akan mengkhianati amanah yang diberikan.
Justeru, beliau meminta rakyat berganding bahu memperkayakan hasil, memakmurkan kekayaan berteraskan prinsip maqasid syariah.
Pada majlis itu, bekas Peguam Besar Sabah, Datuk Mariati Robert, 66, dan bekas Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai, 63, masing-masing dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul peringkat negeri Sabah, tahun ini.
Berita Harian