Simpan Peluru Hidup Untuk Kenangan… Pelancong China Ditahan Di KKIA

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Sekumpulan pelancong China ditahan selepas dikesan membawa peluru hidup dalam bagasi mereka ketika melalui pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di Kota Kinabalu, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kumpulan pelancong berusia lingkungan 50 hingga 70 tahun itu mendakwa menemui peluru berkenaan di pantai Tanjung Aru sehari sebelum pulang ke negara mereka.

Menurutnya, pelancong terbabit mendakwa mengambil peluru berkenaan untuk dijadikan kenangan melancong di negara ini.

“Kumpulan terbabit ditahan selepas penemuan itu dan dibenarkan pulang ke negara asal mereka selepas proses mengambil keterangan selesai.

“Hasil siasatan, mereka mendakwa tiada pihak yang memaklumkan kepada mereka bahawa memiliki peluru adalah perbuatan dilarang di negara ini,” katanya ketika sidang media selepas sesi dialog bersama Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) hari ini.

Habibi menerima cenderahati daripada Pengerusi MATTA Sabah Lawrence Chin selepas sesi dialog bersama persatuan itu di Kota Kinabalu hari ini. Foto Ihsan PDRM

Habibi berkata, ia adalah antara kejadian terpencil yang terjadi dalam kalangan pelancong asing yang mengunjungi negara ini.

Menurutnya, mereka tidak didedahkan mengenai pengetahuan mengenai budaya serta undang-undang di sini.

“Oleh itu program termasuk dialog bersama pihak polis seperti ini adalah antara medium yang boleh dilaksanakan bagi memastikan pelancong diberi pengetahuan berkenaan budaya serta undang-undang negara kita,” katanya.

Sehubungan itu, Habibi berkata, pengusaha pelancongan bertanggungjawab mendedahkan apa yang boleh dilakukan dan tidak dibenarkan di negara ini kepada pelancong untuk mengelakkan mereka menghadapi masalah jika berkunjung ke sini.

“Pihak pengusaha pelancongan juga boleh membantu polis dalam menyalurkan sebarang masalah berkaitan pelancongan.

“Sebagai contoh baru-baru ini, sekumpulan pelancong diganggu oleh orang awam dipercayai kondaktor bas di Bandaran Berjaya ketika melintas jalan.

“Walaupun tiada akta yang boleh diambil kepada pihak kondaktor bas itu tetapi pihak polis boleh memberikan nasihat atau menjalankan ujian urin bagi mengenal pasti pihak itu terbabit penyalahgunaan dadah atau sebaliknya,” katanya.

Habibi berkata, baru-baru ini pihak Bukit Aman mencadangkan untuk meletakkan sekurang-kurangnya empat anggota di setiap balai dan bertanggungjawab terhadap sebarang aktiviti pelancongan bersesuaian dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *