Penuntut Institut Latihan Kemahiran Pinjam Wang Beli Syabu

Salah seorang suspek yang disyaki mengambil dadah ditahan AADK dalam Op Cegah yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu dan Putatan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Pinjam wang kawan, beli syabu. Itulah pengakuan seorang penuntut sebuah institusi latihan kemahiran yang ditahan dalam Ops Cegah dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Kinabalu, di sebuah hotel bajet, di sini awal pagi tadi.

Malah ketika lelaki berusia 26 tahun itu ditahan turut ditemui beberapa peralatan menagih dadah syabu di dalam bilik penginapannya di Kampung Air, di sini.

Penguat kuasa AADK menahan seorang penuntut sebuah institusi latihan kemahiran yang baharu selesai menghisap syabu di dalam bilik sewa di sebuah hotel bajet, di Kampung Air, awal pagi tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Suspek terbabit antara tiga lelaki yang ditahan dalam Ops Cegah bermula kira-kira jam 8 malam dan berakhir jam 3 pagi.

Ketua AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh berkata operasi dijalankan di beberapa lokasi di Putatan dan sebuah penginapan di Kampung Air yang dipercayai menjadi ‘port’ penagih dadah.

“Dalam serbuan di penginapan itu memeriksa beberapa individu dan seorang daripada mereka mengaku mengambil dadah syabu. Pemeriksaan lanjut dibiliknya menemui beberapa peralatan menagih dadah.

“Lelaki itu mengaku menghisap syabu dengan wang yang dipinjam daripada rakannya.

“Dia turut mengaku tertekan dengan hutang itu menyebabkan dia menghisap dadah kononnya untuk menghilangkan tekanan,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi di pejabat AADK Kota Kinabalu.

Antara suspek yang ditahan AADK untuk menjalani ujian saringan air kencing di pejabat AADK Kota Kinabalu, Wisma Dang Bandang, awal pagi tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Lawrence berkata ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” ujarnya.

Operasi itu disertai seramai lapan anggota AADK Kota Kinabalu. –SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *