Jalan Beaufort-Sipitang Alami Kerosakan Teruk & Berbahaya

Antara aduan pengguna laman sosial yang menyatakan kebimbangan mereka.

BEAUFORT: Laluan di sepanjang Jalan Beaufort-Sindumin ketika ini diakui merupakan kemudahan bagi pengguna jalan raya untuk ke destinasi masing-masing, namun kini ia digelar sebagai ‘laluan maut’ berikutan banyak kes kemalangan dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Baru-baru ini, ada kemalangan maut di dilaporkan berlaku di situ, dipercayai berpunca daripada kerosakan teruk pada permukaan jalan berkenaan.

MATBALI
MATBALI

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Matbali Musah ketika dihubungi berkata beliau sudah menyuarakan isu jalan Beaufort-Sindumin yang rosak teruk berulang kali kepada pihak berkaitan, termasuk di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk tindakan.

Namun, katanya, tiada tindakan diambil pihak berkaitan termasuklah kontraktor yang membina Lebuhraya Pan Borneo di pakej berkenaan sehinggalah berlaku kemalangan meragut nyawa seorang pengguna jalan raya barulah beberapa tindakan dibuat.

Beginilah keadaan jalan raya Beaufort-Sipitang sebelum ianya diselenggara. Gambar dikongsi netizen.

“Saya minta pihak berkaitan supaya terus memantau keadaan jalan di sepanjang laluan Pan Borneo bagi memastikan ianya selamat untuk pengguna jalanraya.

“Mana-mana jalan raya yang berlubang harus diseleggara (diturap) termasuklah menyediakan sistem perparitan sementara yang sesuai di jalan-jalan yang sering dilimpahi air untuk mengelak daripada air bertakung dipermukaan jalan.

“Saya menerima banyak aduan daripada rakyat berhubung masalah ini. Ada yang mengalami kemalangan kecil, tayar koyak dan rim pecah. Ini tidak akan berlaku jika jalan sering diselenggara dengan baik, ” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memuji pihak berkaitan atas tindakan pantas mereka membaiki jalan yang berlubang termasuk membina sistem perparitan sementara bagi mengatasi masalah limpahan air dan lumpur.

Beliau meminta supaya tindakan tersebut diteruskan sepanjang masa bagi memastikan jalan raya terbabit selamat untuk pengguna sementara menunggu Lebuhraya Pan Borneo untuk siap sepenuhnya.

Matbali turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban semasa melalui jalan tersebut baru-baru ini.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *