Selepas 56 Tahun, Akhirnya Jalan Berturap Bakal Ada Bagi Menghubungkan Sabah-Sarawak

Simbolik pelancaran projek SSLR dilakukan oleh Baru Bian.

LAWAS: Jika selama ini satu-satunya jalan yang menghubungkan Sabah dengan Sarawak tanpa melalui Brunei ialah jalan balak, kini penderitaan tersebut bakal berakhir.

Buat pertama kalinya selepas 56 tahun pembentukan Malaysia, Sabah dan Sarawak kini bakal mempunyai jalan berturap pertama yang menghubungkan kedua-dua negeri melalui projek Jalan Rangkaian Sarawak-Sabah (SSLR).

Baru Bian menyaksikan penyerahan dokumen pembinaan SSLR antara JKR dengan syarikat perunding.

SSLR yang dilancarkan Menteri Kerja Raya, Baru Bian hari ini akan menghubungkan Sindumin di Sabah dengan 14 bandar utama di Sarawak.

“Ini sudah pastinya memudahkan perjalanan pengguna jalan raya yang tidak perlu melalui pemeriksaan keselamatan sempadan di pos kawalan Imigresen Malaysia – Brunei sebanyak lapan kali jika menggunakan jajaran pantai sedia ada dan jajaran Lebuh Raya Pan Borneo.

“Sekarang ini kita terpaksa menggunakan pacuan empat roda untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain di kawasan pedalaman dan memakan masa panjang, selepas ini dengan terlaksananya projek ini, pergerakan kita akan menjadi lebih mudah, cepat dan selamat, malah kereta Perodua Kancil pun boleh digunakan memasuki kawasan ini,” katanya ketika berucap Melancarkan Projek SSLR di Lawas hari ini.

Jalan balak yang akan dinaik taraf dalam projek SSLR.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dan Timbalannya, Datuk Abdul Razak Jaafar.

SSLR sepanjang 425 kilometer yang bernilai RM5.2 bilion menghubungkan Sabah dari Sindumin, Sipitang dengan 14 bandar utama di Sarawak dari Lawas melalui Long Sukang menuju ke Long Lopeng seterusnya Kampung Pa Berunut.

Pakej pertama projek SSLR adalah sepanjang 90 kilometer bermula dari Lawas ke Kampung Pa Berunut dengan kos bernilai RM1.2 bilion.

Projek berkenaan dijangka bermula pada suku pertama tahun depan dan pembinaan dijangka mengambil masa 48 bulan.

Pakej kedua SSLR pula adalah sepanjang 160 kilometer bermula dari Pa Berunut ke Long Lama.

“Projek-projek seumpama ini adalah bukti Kerajaan Persekutuan sentiasa peka dan cakna terhadap kehendak rakyat serta membuktikan Sarawak sentiasa diingati dalam peta pembangunan infrastruktur negara.

“Saya amat yakin dan percaya bahawa projek berimpak tinggi ini akan memberi banyak manfaat serta mengubah sosioekonomi penduduk Lawas khususnya,” katanya.

BorneoToday

670