
KOTA KINABALU: Seramai tujuh lelaki termasuk dua daripada mereka melanggar syarat pengawasan ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Kinabalu dalam Ops Cegah Siri 28 di daerah ini awal pagi tadi.
Operasi bermula pukul 3 petang semalam dan berakhir 4 pagi tadi dilakukan di kawasan Inanam, Manggatal, Telipok Ria dan Taman Jumbo, Petagas.

Ketua AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh berkata, hasil operasi itu memeriksa seramai lapan lelaki kerana disyaki terbabit penyalahgunaan dadah.
“Saringan awal air kencing mendapati tujuh positif dadah termasuk dua yang melanggar syarat pengawasan.
“Semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi di pejabat AADK Kota Kinabalu.

Lawrence berkata, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran.
“Operasi itu diketua Zakry Mat Zudin bersama lapan anggota AADK Kota Kinabalu dan AADK negeri,” katanya. – SabahNewsToday