Kertas Siasatan Kes Pukul Guru Tabika Diserah Kepada Paguam Negara

SEMPORNA: Polis telah melengkapkan siasatan berhubung kes seorang guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas) yang dipukul enam sekeluarga baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Sabarudin Rahmat berkata, laporan perubatan mangsa juga telah diterima dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan.

Faujiah ditemani suaminya ketika ditemubual wartawan semalam.

Katanya, kesemua suspek juga telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman selama tiga hari dan menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya sama ada pendakwaan akan dilakukan di mahkamah.

“Memang kami ada menerima laporan perubatan mangsa dari pihak hospital sekali gus melengkapkan laporan yang dilakukan.

“Kemudian semua dokumen berkenaan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mata kiri Faujiah cedera teruk akibat dipukul enam sekeluarga baru-baru ini.

Borneo Today sebelum ini melaporkan, dalam kejadian pada pukul 8 pagi, 21 Oktober lalu, Faujiah Piong, 35, mengalami kecederaan di beberapa anggota badan termasuk kepala dan mata selepas mendakwa dipukul menggunakan objek keras seperti kayu, besi serta kerusi oleh enam sekeluarga berusia antara 18 hingga 62 tahun.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa yang hendak memulakan sesi pembelajaran terkejut melihat tindakan salah seorang suspek wanita yang juga pembantu guru di sekolan itu, membawa semua murid keluar dari kelas dan mengunci pintu.

Mangsa turut mendakwa dicabul oleh dua lelaki yang juga anak kepada pembantu Tabika Kemas tersebut, selain beberapa barang peribadinya dirampas seperti duit, gelang tangan emas dan telefon bimbit.

Insiden ngeri mangsa itu kemudiannya menjadi tular di Facebook dan mendapat banyak komen dan perkongsian daripada netizen.

Kes tersebut turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman menerusi akaun Facebooknya yang meminta mangsa membuat laporan polis, sebelum berjanji akan menyiasat perkara tersebut.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *