Kaki Gajah Disyaki Dipotong Guna Objek Tajam

Bedah siasat dijalankan ke atas bangkai gajah yang ditemui terapung di Sungai Kinabatangan.

KINABATANGAN: Kedua-dua pergelangan kaki dibahagian depan bangkai gajah Pygmy Borneo yang ditemui terapung di Sungai Kinabatangan, kelmarin dipotong mengunakan objek tajam.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata hasil bedah siasat yang dilakukan seorang doktor bersama dua kakitangan Unit Penyelamatan Hidupan Liar (WRU), Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, petang semalam mendapati bangkai berkenaan adalah gajah jantan.

“Pemeriksaan luaran terhadap bangkai gajah itu dengan menggunakan ‘metal detector’ tidak menemui sebarang kesan tembakan atau serpihan peluru.

“Bagaimanapun pada kedua pergelangan kaki bangkai gajah berkenaan mendapati ia dipotong dengan objek tajam namun tidak dapat dipastikan kerana bangkai gajah itu dalam keadaan tidak sempurna.

“Selain itu tidak dapat dipastikan perbuatan itu dilakukan sebelum atau selepas gajah itu mati,” katanya menerusi kenyataan media.

Menurut Dzulbaharin, haiwan itu disyaki mati sejak seminggu lalu namun setakat ini punca kematian gajah itu belum dapat dipastikan.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 25(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memburu haiwan dilindungi.

Sementara itu, Pengarah JHL Sabah, Agustine Tuuga berkata bedah siasat terhadap gajah itu selesai dijalankan petang semalam.

Katanya, 30 peratus bahagian badan yang dibedah siasat adalah bahagian tulang pinggul hingga ekor dan bahagian kaki depan kiri serta kanan.

Ahad lalu, bangkai gajah Pygmy Borneo ditemui terapung oleh orang awam di Sungai Kinabatangan, sebelum melaporkan kejadian itu kepada JHL Sabah.

Susulan itu satu laporan polis dibuat oleh pihak JHL Sabah kira-kira pukul 8 malam pada hari yang sama bangkai gajah itu ditemui.

Penemuan bangkai gajah itu adalah yang ketiga selepas dua kejadian di Sungai Dumpas, Kalabakan, Tawau pada 25 September lalu dan di sebuah ladang kelapa sawit di Beluran, 19 Oktober lalu. – SabahNewsToday

556