TENOM: Seorang lelaki layak digelar ‘abang durjana’ apabila tergamak merogol adik kandungnya sendiri sejak tiga tahun lalu dan kejadian terbaru pada September tahun ini.
Perbuatan keji suspek berusia 18 tahun itu terbongkar selepas mangsa berusia 15 tahun menceritakan kejadian itu kepada guru sekolah dan ibunya sebelum membuat laporan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata siasatan mendapati kejadian berlaku sejak tiga tahun lalu ketika mangsa berusia 12 tahun dan terakhir tahun ini.
“Mangsa mengatakan tidak memberitahu keluarga disebabkan takut dimarahi oleh abangnya (suspek).
“Bagaimanapun mangsa yang tidak tahan dengan perangai keji abangnya kemudian menceritakan kejadian itu kepada seorang guru sekolahnya.
“Selepas itu, mangsa memberitahu ibunya sebelum menemani mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Tenom,” katanya menerusi kenyatan media hari ini.
Hasan berkata bertindak atas laporan itu, polis menahan suspek yang juga abang kandung kepada mangsa.
“Suspek yang juga pelajar sekolah menengah di daerah ini ditahan polis di rumahnya, jam 8.50 malam tadi.
“Suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan 10 sebatan jika sabit kesalahan,” katanya. -SabahNewsToday