Indonesia Berterima Kasih Kepada Malaysia Selamatkan Nelayan Republik Itu

TAWAU: Pihak berkuasa Indonesia hari ini menzahirkan penghargaan kepada Malaysia kerana kejayaan mengkoordinasi operasi mencari dan menyelamat (SAR)  empat nelayan warga republik itu yang tersasar ke laut Tanjung Saima dekat sini semalam selepas dipukul ombak kuat.

Wakil Indonesia, Komandan Pos TNI Sei Nyamuk, Letda Laut Juharisman Joyosantoso mengucapkan terima kasih khususnya kepada Pasukan Polis Marin (PPM) atas kerjasama operasi berkenaan.

“Penghantaran mereka (nelayan) kepada kami (Indonesia) bukti kerjasama dengan Malaysia bukan hanya di atas meja tetapi diterjemahkan seperti yang dilakukan kedua-dua pihak,” katanya.

Juharisman berkata demikian selepas upacara penyerahan nelayan berkenaan, di perairan sempadan Malaysia-Indonesia di perairan Sungai Nyamuk, hari ini.

Dalam pada itu Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Iskandar Abdullah berkata, kerjasama dalam aspek keselamatan wajar diteruskan pada masa hadapan.

“Terima kasih melancarkan urusan termasuk turut memberi akses untuk mengesahkan sama ada nelayan yang diselamatkan ini adalah warganegara Indonesia,” katanya lagi.

Semalam, PPM menyelamatkan empat nelayan berusia antara 35 hingga 70 tahun, selepas dua bot dinaiki dihanyutkan sehingga ke kawasan Laut Tanjung Saima, Tawau, Sabah pada 10 pagi.

Nelayan itu dikenali sebagai Ariffin Manja, Amboktuo Codong, Saleh Atass dan Ambar Arba yang kesemuanya dari Kampung Sungai Nyamuk, Pulau Sebatik, Indonesia.

Sementara itu Pegawai Pemerintah PPM Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata sebelum penyerahan pada hari ini, kesemua nelayan itu terpaksa ditahan mengikut Standard Prosedur Operasi (SOP) undang-undang Malaysia.

“Mereka (nelayan) ini telah memasuki perairan kita sebab itu kita kena melakukan siasatan dahulu sama ada mereka ini nelayan atau penjenayah,” katanya lagi.

Hasil pemeriksaan lanjut, katanya kedua bot dinaiki nelayan itu didapati benar mereka  hanyut hingga ke perairan Malaysia selepas dipukul ombak kuat ketika menangkap ikan di perairan Indonesia.

Salah seorang nelayan yang diselamatkan, Saleh, 70, berkata keempat-empat mereka menerima layanan baik sepanjang berada di bawah jagaan PPM.

“Terima kasih PPM, terima kasih Malaysia, kami bukan sahaja diselamatkan tetapi kami diberi perlindungan dan makanan sewajarnya sepanjang kami ditahan untuk siasatan,” katanya

Bagi Saleh, mereka tidak berniat untuk memasuki perairan Malaysia dan hanya mahu memukat ikan di perairan Indonesia, sebelum bot dihanyutkan.

BERNAMA

62