Dua Lelaki Tempatan Diberkas Miliki Syabu

LAHAD DATU: Dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam pengedaran syabu ditahan dalam dua operasi berasingan, di Tanjung Labian dan Tungku.

Dalam operasi pertama, polis menahan seorang lelaki, 41, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Bilis, Tanjung Labian, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek ditahan bersama syabu tersebut disimpan di dalam satu beg plastik miliknya.

NASRI MANSOR

“Dalam kejadian pukul 3.50 petang itu, suspek dilihat sedang menggenggam satu beg plastik berwarna hijau di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut mendapati satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai syabu seberat 5.18 gram disimpan dalam plastik berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Nasri berkata, pihaknya turut menahan seorang lagi lelaki berusia 51 tahun, di Kampung Merabung, Tungku, pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

“Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri, namun tidak berjaya.

“Polis turut merampas satu beg pinggang berwarna hitam yang dipakai suspek sebelum mendapati 60 paket kecil plastik berada di dalamnya,” katanya.

Menurut Nasri, semua paket tersebut berisi ketulan kristal dipercayai syabu dengan berat keseluruhan 5.19 gram.

“Kedua-dua suspek kini direman manakala dadah berkenaan yang dianggarkan bernilai lebih RM1,500 dirampas bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *