Wanita Warga Filipina Ditahan Edar Syabu Di Lahad Datu

Suspek yang ditahan.

LAHAD DATU: Polis merampas dadah jenis syabu seberat 126.46 gram dianggarkan bernilai RM10,000, selepas menahan seorang wanita warga Filipina dalam Op Dawn Tokan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Nipah Tengah, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, dalam kejadian pukul 3.45 petang itu, suspek menyimpan dadah berkenaan dalam beg plastik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Dadah yang dirampas.

“Sebelum kejadian, polis melakukan intipan pada pukul 2.30 petang selepas mendapat maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah di tanah perkuburan itu.

“Polis kemudian mendapati seorang wanita berlegar di lokasi kejadian, sambil membawa satu plastik dalam keadaan mencurigakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nasri, pihaknya kemudian menahan wanita tersebut bagi melakukan pemeriksaan lanjut.

Dadah yang dirampas.

“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai tiga paket plastik berisi ketulan kristal dipercayai syabu disimpan di dalam plastik berkenaan.

“Polis juga mendapati suspek adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) berasal dari Sibutu, Filipina selepas dia gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 mB Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

BorneoToday

189