(VIDEO) Remaja Kampung Pisang VS Kampung Panji

Rakaman video yang tular membabitkan pergaduhan dua kumpulan pelajar perempuan. – Foto Ihsan Pembaca

LAHAD DATU: Tujuh pelajar perempuan daripada dua kumpulan ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan di kawasan Padang Bandaran Lahad Datu semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, remaja berusia antara 14 hingga 17 tahun ditahan selepas satu laporan polis dibuat oleh seorang mangsa yang juga pelajar berusia 16 tahun.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, hasil siasatan mendapati mangsa bersama rakan-rakannya dari Kampung Panji berjumpa dengan sekumpulan remaja perempuan dari Kampung Pisang.

“Perjumpaan itu bertujuan membincangkan perselisihan faham antara mereka berkaitan isu tempat tinggal mereka.

“Bagaimanapun, kumpulan remaja Kampung Pisang mula mengeluarkan kata-kata kesat kepada mangsa.

“Hinaan itu menyebabkan kumpulan remaja dari Kampung Panji tidak berpuas hati dan mengajak remaja dari Kampung Pisang untuk berjumpa di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasri berkata, ketika perbincangan berlaku pertengkaran mulut sehingga bermulanya pergaduhan antara dua kumpulan terbabit.

“Kejadian pergaduhan ini dirakam dan ditularkan di Facebook bagaimanapun tiada kecederaan serius dilaporkan,” katanya.

Berikutan laporan itu, Nasri berkata, tangkapan dibuat terhadap remaja yang terbabit dalam pergaduhan di sekitar Kampung Panji dan Kampung Pisang bagi membantu siasatan.

“Semua remaja itu adalah warga tempatan dan masih bersekolah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 25 saat tular di Facebook memaparkan pergaduhan antara dua kumpulan remaja perempuan dipercayai berlaku di kawasan Padang Bandaran Lahad Datu.- Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *