20 Gajah Mati Dalam Tempah 10 Bulan Di Sabah Tahun Ini

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah merekodkan sebanyak 20 ekor gajah didapati mati antara lain akibat diburu, dijerat atau diperangkap sejak awal tahun hingga Oktober ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew.

Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata situasi berkenaan amat membimbangkan kerana bukan sahaja populasi gajah akan berkurangan akibat kekurangan habitat dan makanan tetapi juga disebabkan pemburuan haram.

“Keadaan ini akan menjejaskan imej Sabah sebagai destinasi ekopelancongan unggul dan juga akan menurunkan harga minyak kelapa sawit di pasaran dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Hari Gajah 2019 di Taman Hidupan Liar Lok Kawi di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk William Baya.

Keadaan gajah Pygmy Borneo yang maut akibat ditembak sebanyak 70 kali oleh pemburu haram.

Program Hari Gajah anjuran JHL Sabah bertujuan memberi kesedaran mengenai isu ancaman terhadap gajah di Sabah selain memberi penghargaan kepada agensi dan orang perseorangan yang terlibat secara aktif dalam usaha konservasi gajah di negeri ini.

Liew berkata program kesedaran itu juga sebagai mengutuk jenayah hidupan liar terutama kegiatan pemburuan gajah dan berharap jenayah tersebut tidak akan berterusan.

Bangkai seekor gajah Pygmy Borneo dengan kesan tembakan dan gading hilang ditemui dalam sebuah ladang, di Beluran. NSTP/Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Bagaimanapun, beliau yakin JHL dengan bantuan agensi penguatkuasaan lain termasuk polis, akan dapat mengesan pelaku yang melakukan kekejaman itu untuk ditangkap dan menjadi pengajaran kepada pemburu haram lain.

Sementara itu, Liew turut melahirkan penghargaan dan berterima kasih atas kerjasama diberikan oleh beberapa pengusaha ladang kelapa sawit khususnya di Telupid dalam aktiviti pengawalan konflik manusia dan gajah menerusi pemasangan pagar elektrik, translokasi gajah dan jaringan komunikasi yang kuat.

“Usaha sama seperti ini secara langsung dapat menangani masalah konflik gajah dengan lebih efisien dan cepat,” katanya.

BorneoTodat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *