LAHAD DATU, 26 Okt: Satu mayat ditemui di Laut Mataking, Semporna, hari ini disyaki salah seorang daripada tujuh mangsa yang dilaporkan masih hilang selepas bot dinaiki dipercayai karam pada Khamis lalu.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata mayat yang belum diketahui jantina itu ditemui orang awam yang kemudian memaklumkan kepada anggota bertugas Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Saya percaya,mayat yang ditemui ini ada hubungan atau berkaitan tujuh mangsa hilang itu.
“Kita percaya mayat ini dihanyutkan mengikut arus laut, kalau kita lihat mangsa pertama yang ditemui berada laluan arus yang tidak menentu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, bagaimanapun pihaknya masih mendapatkan status mayat berkenaan.
“Mayat sekarang berada di Pos PGA Mataking dan anggota PPM Semporna serta polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna berada di pos berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Pajeri berkata, radius pencarian akan diperluaskan mengikut keperluan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih hilang dijalankan untuk tempoh seminggu,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, seorang lelaki selamat di perairan Merabung, manakala seorang wanita ditemui lemas di perairan Bangingod, Tungku dekat sini, dan tujuh individu masih hilang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki sembilan orang di percayai karam.
Hari ini, Mohamad Pajeri menyertai tinjauan di kawasan tanggungjawab sekitar perairan daerah ini yang turut disertai media pada 8.30 pagi tadi.
BERNAMA