Kerajaan Sabah Hargai Sumbangan Komuniti India Dalam Memajukan Negeri Bersama

KOTA KINABALU, 26 Okt: Kerajaan Sabah menghargai sumbangan penting komuniti India dalam membawa kemajuan menerusi pelbagai aspek pembangunan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata walaupun komuniti India di Sabah adalah kecil, namun ia memiliki ramai professional dan mereka turut menyumbang kepada pembangunan negeri dalam pelbagai bidang sejak zaman penjajah lagi.

“Saya harap komuniti India akan terus bekerjasama dengan lain-lain penduduk Sabah, sebagaiaman yang diharap dan diusahakan oleh kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah bagi membawa kemajuan kepada rakyat dan tidak mahu mana-mana komuniti tertentu yang tertinggal,” katanya dalam amanat hari ini sempena sambutan Deepavali esok.

Beliau berkata Deepavali, sama sepertimana lain-lain perayaan yang disambut di Malaysia, adalah satu lagi peluang yang penting bagi masyarakat berbilang kaum di Sabah, untuk mengeratkan hubungan kerjasama dalam satu semangat luhur dalam negara.

“Saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah menjunjung semangat Festival Cahaya ini sebagai sambutan bagi membawa semua kaum di Malaysia bersama memupuk keharmonian hidup bersama.

“Mari kita bersama sertai saudara kita dari kaum Hindu dalam meraikan festival ini dengan keyuakinan bahawa ia akan membawa cahaya dan harapan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *