Akta Pemeliharaan Gajah Akan Diwujudkan Di Sabah – Christina Liew

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dalam proses melakukan pindaan undang-undang dalam Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 bagi meningkatkan hukuman terhadap pihak terlibat dalam pembunuhan gajah di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, langkah itu diambil bagi memperlihatkan keseriusan kerajaan dalam menangani insiden pembunuhan gajah yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Kerajaan Sabah akan melihat terlebih dahulu pindaan undang-undang yang dilakukan di peringkat persekutuan oleh kementerian berkaitan.

“Kita akan melihat sejauh mana mereka meningkatkan hukuman melalui pindaan yang dilakukan. Selepas itu baru kita akan pinda undang-undang di Sabah. Ini bagi memastikan ia seiringan dengan persekutuan,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan pembunuhan gajah yang berlaku di Beluran pada 20 Oktober.

Christina, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata demikian ketika ditemui semasa Sidang Media sempena Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PRK) Sabah, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, liabiliti juga akan ditetapkan agar apabila berlaku pembunuhan gajah di sesuatu kawasan ladang, pemilik ladang perlu menjelaskan bagaimana keadaan itu boleh berlaku.

“Apabila gajah mati di kawasan mereka, pemilik tanah perlu bertanggungjawab menjelaskan kenapa gajah itu boleh mati di tanah mereka,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya juga sedang menyediakan pelan tindakan sepanjang 10 tahun dengan mewujudkan Akta Pemeliharaan Gajah (2020-2030).

“Akta ini akan dibentangkan di Kabinet Sabah sama ada hujung tahun ini mahupun pada awal tahun hadapan. Apabila akta ini diluluskan, ia akan membantu meningkatkan usaha kita dalam pemeliharaan gajah.

“Ketika ini, kita hanya mempunyai 60 ranger an 14 pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan apabila akta ini diluluskan, kita akan dapat melihat lebih banyak peruntukan diberi bagi menambah ranger dan doktor haiwan. Tambahan kakitangan ini akan bolehkan usaha menyelamatkan gajah dapat dilakukan dengan lebih pantas,” ujarnya.

Christina turut mencadangkan pemilik ladang untuk bekerjasama dengan kerajaan melalui JHL Sabah bagi mewujudkan Koridor Makanan untuk gajah dalam kawasan ladang.

Katanya, pemilik ladang boleh memperuntukan sebahagian tanah bagi tujuan penyediaan koridor makanan itu.

Beliau berkata, semua usaha yang diambil itu akan membantu kepada pemeliharaan gajah pygmy borneo di Sabah agar tidak berdepan kepupusan berikutan pada masa ini hanya tinggal kira-kira 2,000 ekor gajah sahaja lagi di Sabah.

Katanya, jika usaha tidak diamil dari sekarang, gajah akan berdepan nasib yang sama seperti badak sumbu sumatra yang kini hanya tinggal seekor sahaja.

BorneoToday

20