Nelayan Panik Ketika Terjumpa Mangsa Bot Karam Terapung

Nelayan tempatan cuba menolong mangsa bot karam di perairan Merabung, Lahad Datu.

LAHAD DATU: Nelayan yang menyelamatkan salah seorang mangsa bot karam semalam mengakui panik apabila ternampak lelaki itu terapung seorang diri perairan Merabung.

Dalam kejadian pukul 9.10 pagi itu, Mohd. Darwin Abd. Ghani, 41, yang merupakan juragan kapal nelayan dinaiki mengakui panik kerana menyangka terlanggar bot kecil yang menyebabkan mangsa jatuh ke laut.

“Selepas memeriksa tiada bot karam di situ, saya kemudian mengarahkan anak kapal membaling pelampung ke arah lelaki itu untuk menyelamatkannya,” katanya ketika dihubungi Borneo Today, hari ini.

Menurut Mohd Darwin, sebaik berjaya dinaikkan ke bot, mangsa terus tidak sedarkan diri selama hampir enam jam dipercayai akibat keletihan.

MOHAMAD PAJERI

“Sebaik sedar, mangsa memaklumkan bahawa bot (jongkong) mereka karam ketika di perairan Filipina.

“Kemudian, barulah kami menghubungi pihak berkuasa dan menyerahkan mangsa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Assistan Komisioner Mohamad Pajeri Ali dalam satu kenyataan m mengesahkan insiden jongkong karam tersebut.

“Pada pukul 3.05 petang semalam, PPM menerima aduan berhubung kejadian itu selepas orang awam menemukan seorang lelaki warga Filipina yang terapung di perairan berkenaan dipercayai juragan bot.

“Menurut mangsa, lapan orang lagi termasuk dua kanak-kanak hilang dalam kejadian tersebut,” katanya.

Mangsa dipercayai juragan bot, diselamatkan orang awam, petang semalam.

Tambahnya, mangsa yang terselamat dikenali sebagai Long Sahlihi Wahi, 29, berasal dari Sibutu, Filipina, melecur pada badannya.

“Sementara itu, mayat seorang daripada mangsa yang hilang iaitu wanita, ditemukan terapung di perairan Tanduo, pukul 9 pagi tadi.

“Setakat ini identiti mangsa belum dikenal pasti dan sudah diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk tindakan lanjut dan bedah siasat,” katanya.

Menurut Mohamad Pajeri, usaha mencari dan menyelamat masih giat dijalankan bagi mengesan baki tujuh mangsa yang masih hilang.

Mayat wanita yang ditemui terapung di laut Tanduo, Lahad Datu dalam kejadian bot karam.

BorneoToday

11