Sabah Perlu Pejabat Konsulat Filipina

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus mendesak kerajaan Filipina membuka pejabat Konsulat negara itu di Sabah bagi memudahkan urusan penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata usaha memujuk kerajaan Filipina supaya meletakkan Konsulat di Sabah sudah dimulakan kerajaan terdahulu namun sehingga kini belum berhasil.

“Kita juga harap pejabat Konsulat Filipina dibuka di Sabah agar memudahkan khususnya rakyat negara itu dihantar pulang jika ada isu sebegini (PATI).

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada keputusan Filipina dan ia di luar kawalan kita.

“Kita memberi jaminan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini akan sentiasa mendesak kerajaan Filipina membuka Konsulat di Sabah bagi memudahkan penghantaran pulang (PATI),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR-Keningau) yang bertanya mengenai usaha kerajaan memujuk Filipina meletakkan Konsulat mereka di Sabah, berikutan jumlah PATI dari Filipina yang ramai di negeri itu.

Menjawab soalan asal Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang), yang bertanya langkah kerajaan membantu PATI yang ingin balik ke negara asal dan bagaimana mereka dapat pulang jika tidak memperoleh pasport, Mohd Azis berkata, PATI yang tinggal lebih masa atau tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah diberi peluang pulang ke negara mereka secara sukarela melalui Program PATI Pulang ke Negara Asal (Back For Good).

Katanya, melalui program yang dilaksanakan di Semenanjung dari 1 Ogos hingga 31 Disember ini itu, setiap PATI yang mahu menyertainya perlu membayar kompaun sebanyak RM700.

“Warga asing yang terbabit hendaklah membawa dokumen perjalanan yang sah iaitu pasport dan sijil perjalanan kecemasan, serta tiket untuk pulang ke negara asal dalam tempoh tujuh hari,” katanya.

Beliau memaklumkan, dari 1 Ogos sehingga 22 Oktober lalu, seramai 66,364 PATI berdaftar dengan program Back For Good, dan daripada jumlah itu 46,976 PATI sudah dihantar pulang manakala 19,388 PATI sedang menunggu giliran dan akan pulang dalam masa tujuh hari.

Katanya, program berkenaan yang dilaksanakan sepenuhnya Jabatan Imigresen menyediakan lebih 80 kaunter di pejabat imigresen seluruh negara.

Berita Harian

52