Polis Marin Tahan Enam Pendatang Haram Di Perairan Tambisan

Foto Ihsan PPM

LAHAD DATU, 24 Okt: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan enam lelaki pendatang haram dalam Ops Gelora di perairan Tambisan dekat sini, semalam, selepas cuba menyusup masuk ke daerah ini dari Filipina.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata dalam kejadian 5.30 petang itu, anggota yang bertugas membuat rondaan menerima maklumat mengenai dua objek yang dikesan pada kedudukan berbeza.

Foto Ihsan PPM

“Anggota bertugas yang tiba di lokasi mendapati objek itu adalah dua bot pam yang dinaiki enam lelaki berusia antara 16 hingga 60 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah dan dibawa ke balai polis berdekatan untuk siasatan lanjut.

Foto Ihsan PPM

Sementara itu, Polis Lahad Datu dalam satu kenyataan berkata pihaknya menahan lima individu termasuk tiga warga Filipina dipercayai pengedar dadah di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Sri Perdana di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata dalam serbuan Ops Tapis itu tiga wanita dan dua lelaki berusia 25 hingga 37 tahun ditahan pada 4.20 petang.

“Ketika pemeriksaan di rumah terbabit, polis menemukan dadah jenis syabu seberat 100.76 gram (bernilai  RM15,114) serta wang tunai RM50,000 dalam bungkusan di sebuah bilik,” katanya.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan lain termasuk lima utas jam tangan pelbagai jenama, empat beg tangan pelbagai jenama, serta barangan kemas selain kereta masing-masing jenis Perodua Myvi dan Nissan Fairlady.

Kesemua suspek menurut Nasri tidak memiliki rekod jenayah lampau selain negatif ujian saringan air kencing.

Menurutnya kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

BERNAMA

34