MA63: Putrajaya Tiada Hak Tentukan Apa Sabah Patut Dapat

AWANG HUSAINI SAHARI

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari berkata, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah dokumen antarabangsa yang telah dimasukkan ke dalam Perlembagaan dan perlu dipatuhi; sebaliknya yang berlaku adalah Kerajaan Persekutuan lebih berkuasa menentukan apa yang patut diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, sehubungan itu Putrajaya perlu sedar bahawa mereka telah melanggar amanah yang diberikan selama ini di dalam MA63.

Tegas beliau, Perdana Menteri, Menteri Hal Ekonomi, Menteri Kewangan dan peneraju Petronas tidak berhak untuk mentafsir Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terutama berkaitan hak-hak Sabah dan Sarawak.

“Mereka semua tiada hak mentafsir kandungan MA63, ini merupakan perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh United Kingdom, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura; jadi bagaimana boleh Kerajaan Pusat (Putrajaya) lebih berkuasa daripada kerajaan Sabah dan Sarawak dalam kes-kes tertentu.

“Dalam Perlembagaan menyatakan apa juga hasil dikutip dari Sabah, 40 peratus mesti dikembalikan kepada Sabah maka peruntukan RM53 juta dalam Belanjawan 2020 berdasarkan kepada angka ini Kerajaan Pusat hanya mengutip RM132 juta dari Sabah ini sebenarnya tidak masuk akal kerana Sabah menyumbang RM80 bilion daripada ekonomi negara tahun lepas,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Awang Husaini berkata, wakil rakyat adalah penggubal undang-undang manakala undang-undang yang dibentuk pula tidak boleh melebihi had yang telah ditentukan Perlembagaan, justeru hanya mahkamah yang boleh mentafsir isi kandungan MA63.

Tegas beliau, sebelum ini, rakyat Sabah dan pemimpin negeri kurang faham berkaitan MA63, namun perkara itu sudah berubah kerana MA63 kini telah menjadi isu yang amat kritikal untuk Sabah.

Justeru katanya, rakyat Sabah telah sedar bahawa hak-hak mereka di dalam dokumen setebal 235 muka surat itu perlu ditunaikan seperti yang telah dijanjikan.

Dalam perbahasannya, Awang Husaini mempersoalkan adakah pemimpin Kerajaan Pusat menyedari bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 bercanggah dengan Perlembagaan manakala beberapa akta lain seperti Akta Pelantar Benua 1969, Akta Wilayah Laut 2012 dan Zon Ekonomi Eksklusif 1984 sebenarnya tidak boleh dipakai di perairan Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu katanya, atas dasar apakah Kerajaan Pusat membenarkan dan melindungi Petronas untuk melakukan kerja-kerja eksplorasi minyak dan gas di perairan Sabah dan Sarawak selama ini.

“Saya mengangkat isu ini disebabkan minyak dan gas adalah salah satu sumber hasil Sabah, namun pengagihan hasil daripada sumber itu amatlah kecil untuk Sabah walaupun Sabah pemilik pelantar benua.

“Atas nama sahaja Sabah dan Sarawak pemilik, buat masa ini minyak dan gas diusahakan oleh Petronas dan dilindungi oleh Kerajaan Pusat,” katanya.

BorneoToday

63