
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang wanita yang disyaki cuba menyeludup hampir 20,000 biji kapsul ubat dari Filipina untuk dijual di negara ini.
Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM118,170 termasuk nilai 9,000 botol kaca 1ml, dua enjin pam, dua shape dan kipas, sebuah bot pam, telefon pintar serta sim kad.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata antara ubat dirampas, 10,000 biji kapsul Amoxicilin 500 mg serta 8,700 biji kapsul Ibuprofen Paracetamol.
“Kita juga merampas ubat-ubatan seperti 144 biji Cytotec Tablets, 400 biji Zeozep Forte dan 220 biji Dexamethasone,” katanya menerusi kenyataan medianya, di sini, semalam.
Pajeri berkata rampasan itu dijalankan PPM Semporna selepas menyekat dan menahan sebuah bot pam di kawasan laut Singgahmata, kira-kira jam 10.30 malam.

Mengulas lanjut, beliau berkata usaha turut digerakkan untuk mencari dua suspek lelaki yang bertindak terjun ke laut dari bot pam itu namun kedua-dua mereka tidak ditemui.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan di bot pam yang ditinggalkan kedua-dua suspek, kita berjaya mengesan dan menangkap seorang wanita tempatan berumur 56 tahun,” katanya.

Menurutnya, penahanan suspek dan rampasan barangan terlibat dijalankan mengikut Akta Farmasi 1951 kerana disyaki membawa ubat-ubatan yang menyalahi undang-undang.
Utusan Borneo