Gading Gajah Pygmy Ditemui

Bangkai seekor gajah Pygmy Borneo dengan kesan tembakan dan gading hilang ditemui dalam sebuah ladang, di Beluran. NSTP/Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah.

KOTA KINABALU: Gading milik gajah Pygmy Borneo yang bangkainya ditemui di Ladang Bimbingan (IOI), Beluran, Jumaat lalu, sudah dijumpai.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew berkata, maklumat terkini itu dimaklumkan kepadanya, tengah malam tadi.

“Kita sudah jumpa gading yang dipercayai milik gajah itu. Bagaimanapun kita tidak mahu memberi apa-apa maklumat berkaitan setakat ini, kerana kita tidak mahu ia mengganggu siasatan.

“Ini kerana kita sekarang dalam usaha untuk menahan pelakunya. Kita akan maklumkan apabila kita sudah mendapat laporan penuh,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kesedaran Pelaksanaan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), di Kota Kinabalu, hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementeriannya, Datuk William Baya.

Jumaat lalu, seekor gajah Pygmy Borneo ditemui mati dalam ladang dekat Beluran dengan kesan tembakan serta gading hilang.

Susulan kejadian itu, pada Ahad, seorang pengawal keselamatan berusia 20 tahun, ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan, manakala Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) turut menawarkan ganjaran RM50,000 kepada pemberi maklumat kes pembunuhan gajah itu.

Ini adalah kejadian kedua kurang sebulan selepas seekor gajah Pygmy Borneo ditemui mati dengan 70 kesan tembakan dan gadingnya juga dipotong di Sungai Udin, Dumpas, Tawau, bulan lalu.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *