538 Projek Pengilangan Dengan Modal RM34.7 Bilion Diluluskan Di Sabah

Darell Leiking

KOTA KINABALU, 22 Okt: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ignatius Darell Leiking berkata sejak tahun 2000 hingga 2018 sebanyak 538 projek pengilangan telah diluluskan di Sabah dengan nilai modal sebanyak RM34.7 bilion.

Beliau berkata sepanjang tempoh berkenaan sebanyak 41,494 peluang pekerjaan telah diwujudkan khususnya kepada rakyat Sabah.

“Pada tahun 2018 sahaja sebanyak 13 projek pengilangan diluluskan di Sabah dengan jumlah pelaburan sebanyak RM227.3 juta. Untuk tahun ini iaitu sejak Januari hingga Jun sebanyak empat projek pengilangan telah diluluskan di Sabah dengan pelaburan bernilai RM675.1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang diedarkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersama Kerajaan Negeri Sabah, di sini Isnin.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah.

Mengulas mengenai mesyuarat JBI itu, Darell berkata ia bertujuan membincangkan kertas pembentangan daripada kerajaan negeri Sabah untuk menyelesaikan isu dan masalah yang timbul dalam pembangunan industri di Sabah.

“Antara isu yang dibincangkan adalah usaha membaiki sistem kemudahan tenaga elektrik dan internet di Sabah, selain daripada usaha sama kerajaan negeri dan persekutuan untuk memudah cara operasi berkaitan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) di negeri ini.

“Selain kita juga membincangkan mengenai pembangunan hab aeroangkasa di negeri ini dan perbincangan untuk terus menjana kemajuan dalam inisiatif termasuk automatif, robotik dan Internet-of-Things di Sabah,” tambahnya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri mengalu-alukan inisiatif mengadakan JBI untuk mempertingkatkan lagi perindustrian di Sabah.

“Mesyuarat seperti ini sudah lama tidak diadakan …dan ini sangat penting untuk memperincikan beberapa perkara yang cukup penting untuk membangunkan industri di Malaysia, khususnya Sabah. 

“Ini penting dan kita perlu lakukan kerana persaingan perdagangan di dunia semakin meningkat dan sangat kompetitif dan dinamik…kita memerlukan beberapa keupayaan untuk membolehkan mampu bersaing di pentas dunia oleh itu kita kena bangunkan industri kita untuk mewujudkan produk yang bermutu, berkualiti untuk bersaing dengan negara lain,” katanya.

BERNAMA

70