Polis Dipukul Ketika Cuba Leraikan Pergaduhan

‘Screenshot’ video menunjukkan beberapa anggota polis bertindak meleraikan pergaduhan di sebuah premis makanan. Gambar SNT/Sosial Media

TAWAU: Cubaan anggota polis meleraikan pergaduhan bertukar tragedi apabila salah seorang daripadanya ditumbuk dan dipukul di bahagian kepala menggunakan kerusi dalam kejadian di sebuah kedai di Taman Setia, Jalan Chong Tien Vou, dekat sini, pada Ahad.

Mangsa lelaki berusia 27 tahun dikatakan tiba di restoran berkenaan kira-kira pukul 10 malam selepas menerima maklumat daripada orang awam berhubung pergaduhan itu.

‘Screenshot’ video menunjukkan beberapa anggota polis bertindak meleraikan pergaduhan di sebuah premis makanan. Gambar SNT/Sosial Media

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata anggota polis berusia 27 tahun itu kemudian bertindak meleraikan pergaduhan namun malangnya mangsa turut dipukul.

“Lelaki berkenaan kemudian memukul mangsa menggunakan kerusi sebelum beberapa individu lain bertindak menumbuk mangsa.

“Kesemua suspek bertindak melarikan diri apabila melihat beberapa anggota polis tiba di lokasi berkenaan,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau hari ini.

Susulan kejadian itu, tiga lelaki berusia 22 hingga 46 tahun ditahan.

“Hasil siasatan terhadap suspek mendapati punca kejadian akibat mabuk.

“Semua suspek ditahan reman empat hari bermula semalam dibawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan terhadap anggota polis,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *