Ahli Parlimen Sandakan Minta Kementerian Kewangan Beri Peruntukan Baiki Aset, Naiktaraf Aset Keselamatan

Vivian Wong Shir Ye

SANDAKAN : Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee meminta Kementerian Kewangan untuk memberi peruntukkan untuk memperbaiki aset-aset yang tidak berfungsi dan menaiktaraf aset keselamatan yang sedia ada untuk menjaga keselamatan Pantai Timur Sabah

Beliau berkata ini ekoran sering berlaku masalah penculikan dan menyebabkan Kawasan Pantai Timur diberikan nasihat perjalanan atau “Travel Advisory” oleh negara-negara asing yang menjejaskan ekonomi Sabah terutamanya Sandakan oleh kerana kemerosotan sektor pelancongan.

“Pada 11 September 2018, tiga warga Indonesia diculik di kawasan sempadan berdekatan perairan Semporna, kejadian pertama seumpama dalam tempoh hampir dua tahun. Kemudian, pada 18 Jun 2019, sekumpulan 10 orang laut atau palauh juga diculik di perairan Lahad Datu dimana 9 dibebaskan lima hari kemudian.

 “Terbaharu, pada 23 September 2019, tiga nelayan warga Indonesia juga diculik berdekatan perairan Lahad Datu,” katanya.

Beliau menegaskan masalah peculikan adalah masalah serius yang dihadapi oleh semua rakyat di Sabah terutamanya di pantai timur.

“Kesemua kes-kes penculikan ini tidak memberi keamanan kepada rakyat Sabah terutama di Pantai Timur dan juga pelancong yang ingin melawat pulau-pulau,” katanya dalam sesi soalan lisan di Parlimen, kelmarin.

Dalam sesi yang sama, Vivian juga meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah peningkatan sumber dan aset yang sempadan untuk penstrukturan semula ESSCOM dan apakah tarikh sasaran yang ditetapkan untuk menghapusan perintah berkurung laut yang telah dilaksanakan selama lebih daripada 5 tahun sejak dimulakan pada 19 Julai 2014.

Kementerian dalam negeri menyatakan bahawa apabila Penstrukturan Esscom dilaksanakan, ianya hanya mengubah daripada segi rangkaian pemerintahan (Chain of Command) agensi tersebut dan tidak melibatkan penambahan sumber manusia atau aset-aset yang sedia ada.

Keadaan ini adalah selari dengan polisi Kerajaan ke arah rasionalisasi sektor awam.

Sungguhpun begitu, permasalahan yang dihadapi oleh ESSCOM pada masa kini adalah berkaitan dengan isu penyelenggaraan dan logistik aset-aset udara dan laut yang telah mengalami kerosakan dan memerlukan kerja-kerja pembaikan serta alat ganti agar tidak merencatkan operasi yang dijalankan.

Adakalanya kerosakan yang berlaku ke atas kapal,bot atau pesawat perlu dibaiki di Semenanjung dan akan mengambil masa yang agak lama.

Pada masa yang sama, proses menaiktaraf system pengawasan radar di pulau-pulau dan Kawasan peraisan ESSZONE juga perlu dilaksanakan.

Di samping itu, terdapat juga keperluan untuk mewujudkan penambahan kepada pos-pos dan pangkalan hadapan yang berupanya memberi bantuan logistik kepada bot-bot ronda di kawasan-kawasan tumpuan atau hotspot dan strategik.

Dalam pada itu, Vivian juga menyatakan kerisauannya setelah mendapat jawapan bertulis daripada Kementerian Dalam Negeri mengenai cadangan penstrukturan semula ESSCOM ini yang masih di peringkat perbincangan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), Majlis Keselamatan Dalam Negeri (MKN) dan agensi-agensi keselamatan di Kawasan ESSZONE.

Selain itu, setakat ini, pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiada menetapkan sebarang tarikh sasaran untuk menghapuskan perintah berkurung di laut yang sedang berkuatkuasa sekarang.

Kementerian Dalam Negeri juga menyatakan, walaubagaimanapun, pihak Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) dan pihak pesuruhjaya Polis Sabah sedang merancang untuk meminda dan menambahbaik kawasan dan masa perintah berkurung terutamanya di kawasan-kawasan tumpuan atau hotspot yang akan dikenakan perintah berkurung 24 jam manakala kawasan-kawasan selamat akan ‘bebas perintah berkurung’.

Justifikasi kawasan-kawasan hotspot akan mengambilkira faktor-faktor keselamatan  dan keadaan yang mendorong kegiatan penculikan di Kawasan Esszone Sabah.

Sementara itu, Vivian juga menyatakan persetujuan beliau mengenai cadangan memindahkan Kem Lok Kawi ke Pantai Timur Sabah seperti yang dikemukan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Jun 2019.

“Di harapkan Kementerian Pertahanan juga akan memberi solusi yang positif supaya Pantai Timur Sabah tidak lagi diancam oleh serangan lanun,” katanya.

Utusan Borneo
 

53