Semporna Juara Piala FA Liga Bola Sepak KDM Malaysia

KOTA KINABALU: Pasukan KDM Semporna menumpaskan KDM Sepanggar 4-1 untuk muncul juara Piala FA Liga Bola Sepak KDM Malaysia 2018-2019.

Perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Likas malamtadi itu menyaksikan Semporna mendahului 2-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Mohd Fauzie Abdul Kadir pada minit keempat dan Leopold Alfonsso Otong pada minit kesembilan.

Tiga minit selepas rehat (minit ke-48), Shahrizam Sahar meletakkan Semporna selesa 3-0 selepas menewaskan penjaga gol Sepanggar, Mohd Salawi Ahmad Jasad.

Sepanggar berjaya mengurangkan jarak kepada 3-1 hasil jaringan Saddam Yusup pada minit ke-60.

Semporna bagaimanapun mematikan langkah Sepanggar dengan jaringan keempat menerusi Zulfadlisham Roseland pada minit ke-78 sekaligus mengesahkan gelaran juara menjadi milik mutlak mereka.

Pemimpin pasukan Semporna, Datuk Dzaqoff Ang K.C berkata, kejayaan itu adalah sejarah baru di mana ia merupakan gelaran pertama mereka dalam tempoh 61 tahun.

“Kejayaan ini juga hadiah istimewa kami buat Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang menyambut harijadinya hari ini,” kata Dzaqoff yang dikenali sebagai Uncle Chang di kalangan warga Semporna.

Shafie juga adalah Ahli Parlimen Semporna dan wakil rakyat DUN Senallang.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *