
TAWAU, 19 Okt: Tawau berpotensi melahirkan ramai pemain sukan elektronik (e-sukan) bertaraf antarabangsa dengan lebih banyak penganjuran pertandingan seumpama itu diadakan di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata saranan itu melihat kepada e-sukan mulai meningkat naik di Sabah, selari dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.
“Saya yakin anak-anak Tawau boleh menjadi pemain e-sukan terbaik dan sebenarnya banyak manfaat diperoleh melalui e-sukan ini kerana anak-anak muda terdedah dengan teknologi elektronik dan siber,” katanya pada Sabah Gaming Carnival Tournament anjuran Tawau Gamers Community (TGC), di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya e-sukan juga dapat menjadi wadah mengerat hubungan silaturahim dan meningkatkan perpaduan kerana penyertaan pemain terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
“Dalam kita bermain e-sukan yang lebih penting kita dapat melihat apabila kita sama-sama bertanggungjawab untuk menjaga negeri dan negara secara bersama sebagaimana ketika kita bersaing dalam e-sukan,” katanya lagi.
Sementara itu, Nizam turut mahu ibu bapa memberi sokongan tetapi dengan pemantauan kepada anak-anak yang berminat dengan e-sukan kerana ianya juga salah satu sukan yang menawarkan pendapatan kerjaya lumayan.
“Namun jangan pula ibu bapa bertindak lepas tangan tetapi perlu juga memantau anak-anak agar tidak terjerumus ke dalam perkara negatif walaupun mereka bergiat aktif dalam e-sukan,” katanya.
Menurut Nizam, kerajaan juga turut memberi sokongan untuk memperkasa e-sukan di negara ini apabila memperuntukkan dana berjumah RM20 juta pada Belanjawan 2020 bagi pembangunan sukan itu.
BERNAMA