DBKK Adakan Perbincangan Lanjut Berhubung Lukisan Mural

Crig Francis menunjukkan hasil seni rekaannya yang didakwa ditiru oleh pihak DBKK untuk mencantikkan kawasan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung dakwaan seorang pelukis tempatan, Crig Francis bahawa DBKK telah meniru lukisan mural yang yang dihasilkannya dan dilukis di tangga Padang Merdeka, di sini.

Mayor DBKK Datuk Nordin Siman berkata DBKK telah mengadakan pertemuan dengan Crig baru-baru ini untuk membincangkan isu berkenaan.

“Beliau (pelukis) amat positif selain mahu lukisan mural itu dikekalkan di situ untuk kebaikan bersama, malah DBKK akan sentiasa berhubung dengan beliau untuk perbincangan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Upcycle & Eco Bag for green KK’, di sini hari ini.

Nordin berkata perbincangan lanjut itu bagi mencari pendekatan yang terbaik demi memajukan industri seni lukis dan tidak mengabaikan mereka yang terlibat dalam bidang itu.

Baru-baru ini, Crig mendakwa hasil lukisan mural beliau telah ditiru tanpa pengetahuannya selepas menghantar lukisan itu kepada DBKK pada tahun lepas untuk reka bentuk lukisan mural.

Mengenai program itu, Nordin berkata ia akan diadakan setiap tiga minggu dalam usaha meningkatkan kesedaran penjagaan kebersihan bandaraya Kota Kinabalu.

Beliau berkata sokongan daripada pihak swasta, badan bukan kerajaan selain agensi kerajaan dan masyarakat sekitar penting agar dapat memenuhi hasrat itu.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *