Warga Kota Belud Teruja Sambut Konvoi Motosikal Berkuasa Tinggi

Tun Juhar sewaktu menunggang motosikal pada konvoi tersebut.

KOTA BELUD: Warga Kota Belud teruja menyambut konvoi 150 buah motosikal berkuasa tinggi, kata Pegawai Daerah Kota Belud, Diyanah Abdullah.

Dalam ucapannya di Dataran Kota Belud, pagi kelmarin beliau berkata, keterujaan menyambut konvoi tersebut dizahirkan dengan mengadakan pelbagai persiapan yang terbaik supaya sambutan tersebut berjalan dengan lancar.

Tun Juhar (tengah) dan Toh Puan Norlidah (dua dari kanan) semasa acara memotong kek hari jadi.

“Antaranya ialah dengan membuat raptai persembahan pementasan pada malam sebelumnya sehingga jam 10 malam bagi memastikan program yang dinanti-nantikan ini tidak mengalami sebarang masalah.

“Oleh itu, diharap juga acara sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi ke-66 Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin ini akan memilih daerah Kota Belud sebagai destinasi konvoi tersebut sekali lagi di masa hadapan,” ujarnya.

Acara konvoi bermotosikal yang julung kali diadakan itu turut disertai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Jaujan Sambakong dan  Presiden Wings Motor Geng Society (WMGS), Datuk Ahmad Azhar Othman @  Awie.

Turut diadakan, acara penyampaian sumbangan oleh Yayasan Tun Juhar kepada 150 penerima yang terdiri daripada asnaf, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU) oleh isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Selain itu, Tun Juhar juga turut menyampaikan sumbangan kepada seramai tujuh mangsa kebakaran dari Kampung Kamalaan Sarang, Kota Belud.

Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 7 Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim merangkap Ahli Parlimen 169 Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *